MANCHESTER CITY 6 MANCHESTER UNITED 3

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, berkata pasukannya tiada keyakinan ketika tewas 3-6 kepada Manchester City dalam aksi 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam tadi.

Walaupun memenangi empat perlawanan liga terakhir, United jelas tidak dapat bersaing dalam aksi kali ini, di mana mereka ketinggalan 0-4 dalam separuh masa pertama.

Erling Haaland dan Phil Foden menjaringkan hatrik buat City dalam perlawanan itu sambil Anthony Martial menjaringkan gol berganda buat United manakala satu jaringan lagi disumbangkan Antony.

"Apabila anda tiada keyakinan di atas padang, anda tidak boleh memenangi perlawanan," kata Ten Hag selepas pertemuan itu.

"Ia agak mudah, ia kerana tiada keyakinan. Ini tidak boleh diterima.

"Kami menjadi tidak berdisiplin dalam mengikuti peraturan dan kemudian dibelasah, itulah yang berlaku.

"Bagi saya ia satu kejutan. Kami tidak memiliki kelebihan, kami tidak cukup berani mengawal bola dan terdapat ruang untuk bermain yang kami tidak cukup berani untuk gunakan.

"Dalam keadaan ini, saya tidak dapat memikirkan sesuatu yang positif, kami membuatkan penyokong kecewa, kami biarkan diri kami kecewa dan ia satu kekecewaan yang amat besar," katanya.