MANCHESTER CITY 1 BRENTFORD 2

Ivan Toney memberikan respons terhadap kegagalannya tersenarai dalam barisan skuad kebangsaan England ke Piala Dunia Qatar bulan ini dengan memacu kemenangan 2-1 Brentford ke atas Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad sebentar tadi.

Brentford mendahului seawal minit ke-16 apabila Tooney menanduk masuk bola mengatasi penjaga gol, Ederson, tetapi City kembali menyamakan kedudukan menerusi separa voli gemilang Phil Foden dalam waktu kecederaan separuh masa pertama.

Bagaimanapun, pasukan juara bertahan bimbingan Pep Guardiola itu bergelut untuk memecahkan kekebalan benteng pertahanan The Bees sejak dari awal separuh masa kedua.

Keadaan itu jelas mengundang padah apabila Toney menolak masuk gol kemenangan Brentford pada minit kelapan waktu kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan City menamatkan saingan sebelum Piala Dunia Qatar dengan kekalahan dan kekal ketinggalan dua mata di belakang Arsenal menjelang kunjungan The Gunners ke laman Wolves awal pagi esok.