ARSENAL 4 EVERTON 0

Arsenal kini memiliki kelebihan lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Everton 4-0 di Stadium Emirates, di mana Gabriel Martinelli muncul pemain paling cemerlang dengan jaringan bergandanya awal pagi tadi.

The Gunners jelas mempamerkan aksi terburuk mereka ketika tewas 0-1 kepada Everton bulan lalu tetapi kali ini, dua jaringan yang terhasil pada penghujung babak pertama menyaksikan mereka memahat kisah berbeza.

Bukayo Saka terlebih dahulu memecahkan kekentalan pertahanan Everton menerusi penyudah gemilangnya ke arah penjuru kanan atas gawang lawan itu pada minit ke-40 dan dia turut memainkan peranan merampas bola daripada penguasaan Idrissa Gueye sebelum memberikan umpanan yang disudahkan Martinelli menjelang ke bilik persalinan.

Nasib lawan bimbingan Sean Dyche itu kian parah dalam separuh masa berikutnya apabila Martin Odegaard dan Martinelli berhasil melakukan penyudah jarak dekat, masing-masing pada minit ke-71 dan 80, sekali gus memastikan Arsenal menjarakkan kedudukan mereka berbanding pencabar terdekat, Manchester City, dalam carta EPL.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu akan meneruskan saingan EPL dengan melayani kunjungan Bournemouth hujung minggu ini sambil Everton pula akan bertandang ke laman satu lagi pasukan yang sedang bergelut di kelompok bawahan, Nottingham Forest, sehari kemudian.