Richarlison terpaksa berehat tiga hingga empat minggu kerana kecederaan paha yang dialaminya sewaktu Piala Dunia Qatar baru-baru ini, demikian disahkan pengurus Tottenham, Antonio Conte.

Penyerang Brazil itu menjaringkan tiga gol dan beraksi cemerlang sepanjang kempen di Qatar, termasuk melakukan voli akrobatik ketika Selecao menewaskan Serbia 2-0 di peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Piala Dunia kali ini berakhir dengan mengecewakan buat Richarlison, di mana dia terpaksa dikeluarkan lebih awal ketika Brazil tewas kepada Croatia dalam penentuan sepakan penalti suku akhir.

Bekas pemain Everton itu menjalani ujian imbasan awal minggu ini dan Conte kemudian mengesahkan bahawa penyerang itu terpaksa berehat panjang.

"Saya sudah bercakap dengan bahagian perubatan, mereka memberitahu saya bahawa kami mungkin memerlukan tiga hingga empat minggu. Kecederaannya kecederan serius," kata pengurus Tottenham itu.

"Saya mengikuti setiap pemain saya dalam Piala Dunia dengan banyak berdoa kerana anda amat sedar bahawa anda boleh kehilangan pemain penting.

"Ia berlaku kepada Richarlison, yang mengalami kecedeceraan, selain (Rodrigo) Bentancur dan Ben Davies."

Pasukan bimbingan Conte itu akan melewati dua perlawanan penting bermula dengan aksi menetang seteru London, Arsenal, pada 15 Januari ini sebelum bertemu juara bertahan, Manchester City, empat hari kemudian.