TOTTENHAM HOTSPUR 2 EVERTON 0

Antonio Conter berbangga dengan perkembangan Tottenham selepas mereka kian menghampiri kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Everton 2-0 di laman sendiri awal pagi tadi.

The Toffees mempamerkan aksi kental dalam babak pertama perlawanan ke-50 Conte sebagai pengurus Spurs, yang bernasib baik tidak ketinggalan dalam tempoh itu selepas Amadou Onana dan Demarai Gray mensia-siakan peluang keemasan di depan gawang.

Bagaimanapun, Tottenham mempamerkan aksi lebih baik selepas waktu rehat.
Kecederaan yang dialami bekas bintang Everton, Richarlison, menyaksikan Yves Bissouma dibawa masuk dan Spurs mengubah corak permainan mereka untuk membenam Everton.

Kesilapan penjaga gol, Jordan Pickford, menyaksikan Harry Kane diberikan sepakan penalti untuk memecahkan kebuntuan sebelum Pierre-Emile Hojbjerg menggandakan kelebihan itu pada lewat permainan.

Everton pula gagal melakukan sebarang percubaan dalam separuh masa kedua dan gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan itu.

Kemenangan itu meletakkan Spurs kini setara dengan pasukan di tangga kedua, Manchester City, yang akan berdepan Liverpool malam ini, dan satu mata di belakang pendahulu, Arsenal, yang akan bertandang ke laman Leeds United pada hari yang sama.

"Kami perlu berasa amat gembira kerana kami bermain dengan amat baik, mencipta banyak peluang dan kami mempunyai satu kecederaan dalam perlawanan ini melibatkan Richy, sudah pasti situasi ini akan mendatangkan sesuatu yang negatif," kata Conte kepada Sky Sports.

"Sebaliknya, kami menemui penyelesaian yang tepat dengan tiga pemain tengah, saya amat menggemari perwatakannya.

"Kami memulakan perlawanan dengan amat baik, mungkin kami perlu memberikan lebih perhatian dalam babak pertama kerana kami membenarkan dua serangan balas lawan, kami boleh melakukannya dengan lebih baik tetapi pada akhirnya, kami layak menerima kemenangan ini. Kami perlu meneruskan seperti ini.

"Saya amat gembira di sebalik kesukaran yang kami hadapi dalam perlawnaan ini, berdepan lawan dan kecederaan, kami masih dapat mencari penyelesaiannya.

"Ia bermakna pemain kami sudah berkembang daripada banyak aspek, bukan sekadar taktikal tetapi juga daripada cara kami menghadapi kesukaran. Ini membuatkan saya amat berbangga dengan pemain saya," katanya.