Pep Guardiola mahu Manchester City mencari jalan untuk memastikan Erling Haaland terlibat dengan perlawanan secara lebih menyeluruh.

City tewas 1-2 kepada seteru setempat, Manchester United, di Old Trafford pada Sabtu lalu untuk kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Haaland, yang menjaringkan 21 gol daripada 17 penampilan bersama City, hanya dapat melakukan dua percubaan ke atas kubu United dan jelas bergelut untuk mencipta impak sepanjang perlawanan itu.

Dengan hanya melakukan lima sentuhan, ia merupakan rekod kelima terendah yang dilakukannya dalam EPL musim ini dan hanya tiga perlawanan lain dia melakukan kurang daripada jumlah itu selain perlawanan menentang United berkenaan.

Pengurus City, Guardiola, sedar pasukannya perlu memastikan penyerang berusia 22 tahun berkenaan lebih terlibat dalam setiap perlawanan.

"Benar," kata Guardiola kepada wartawan ketika ditanya adakah City perlu lebih cepat memberikan bola kepada Haaland.

"Buat masa ini, kami memiliki proses itu kerana apabila pasukan ini berada dalam kotak 18 ela, ia lebih sukar buat kami tetapi kami perlu mendapatkannya dengan lebih kerap.

"(Menentang United), dia mendapat sentuhan yang mencukupi tetapi ia benar bahawa apabila kami membuka permainan di sebelah tepi, kami perlu mendapatkannya. Tetapi kami akan melakukan perkara itu," katanya.

Ditanya mengenai siapa yang bertanggungjawab dalam memastikan Haaland menerima bola dengan lebih kerap, Guardiola berkata: "Semua orang.

"Apabila anda memiliki bola, semua orang dibenarkan untuk melakukan serangan dan apabila anda tidak memilikinya, anda perlu bertahan."