Chelsea menandatangani Noni Madueke daripada PSV, sekali gus menjadi pemain keenam ditandatangani mereka sepanjang jendela perpindahan bulan ini.

The Blues dilaporkan membayar £35 juta (RM185.83 juta) untuk mendatangkan pemain remaja England itu, yang menyertai akademi Crystal Palace dan Tottenham sebelum ke Belanda.

Madueke menandatangani kontrak tujuh setengah tahun di Stamford Bridge dengan The Blues memiliki pilihan untuk melanjutkannya selama 12 bulan lagi.

Chelsea mengikat pemain sayap itu selepas mereka turut berbelanja besar untuk mendatangkan Mykhaylo Mudryk daripada Shakhtar Donetsk selain kesepakatan pinjaman bagi mendapatkan Joao Felix tetapi Madueke dilaporkan telah menarik minat pengurus, Graham Potter, sejak dia mengendalikan Brighton and Hove Albion lagi.

Setelah tawaran awal yang dilakukan mereka dilaporkan ditolak, Chelsea berhasil mendapatkan pemain itu dalam perbincangan kali ini, sekali gus meneruskan perbelanjaan mewah mereka sejak era Todd Boehly.

Dalam jendela perpindahan bulan ini, Chelsea menandatangani Benoit Badiashile, Andrey Santos dan David Datro Fofana secara tetap manakala Joao Felix pula menyertai mereka secara pinjaman daripada Atletico Madrid sehingga penghujung musim ini, sebelum mereka mengatasi seteru setempat, Arsenal, dalam perebutan mendapatkan pemain kebangsaan Ukraine, Mudryk.