ARSENAL 3 TOTTENHAM HOTSPUR 1

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji barisan pemainnya kerana mempamerkan aksi terbaik ketika menewaskan Tottenham 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates malam tadi.

Arteta berkata mereka layak memperoleh kemenangan itu sambil menyedari kepentingan buat pasukannya meneruskan momentum sedia ada untuk kekal berada di tangga teratas.

"Saya amat gembira, ia satu persembahan yang amat bagus, hari yang indah dengan suasana yang luar biasa untuk bermain," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan pasukan ini dengan cara yang istimewa.

"Saya amat-amat gembira kerana ia merupakan peluang untuk membuatkan ramai orang gembira dan berbangga. Saya fikir kami telah memberikannya buat mereka semua.

"Kami kini sedang fokus. Kami benar-benar pasukan yang bernafsu dan rendah diri, percayalah kata saya.

"Kami sedar di mana kami berada, belum ada apa yang sudah kami selesaikan dan masih masih banyak untuk diperbaiki, dan itulah haluan yang sedang kami tuju," katanya.

Aksi di Stadium Emirates menyaksikan Thomas Partey terlebih dahulu meletakkan The Gunners di depan pada minit ke-20 sebelum Harry Kane menyamakan kedudukan buat Spurs berselang 11 minit.

Gabriel Jesus sekali lagi mempamerkan aksi terpuji dan memastikan Arsenal kembali memimpin perlawanan pada minit ke-49 sebelum Tottenham terpaksa beraksi dengan 10 pemain gara-gara Emerson dilayangkan kad merah pada minit ke-62.

Granit Xhaka kemudian memutlakkan kemenangan Arsenal pada minit ke-67 untuk pasukan bimbingan Arteta itu kekal menerajui liga dengan kelebihan empat mata di depan pencabar terdekat, Manchester City, menjelang aksi derby menentang Manchester United malam ini.