Mikel Arteta berkata Arsenal perlu menikmati aspek fizikal mereka menjelang pertemuan dengan seteru lama, Manchester United, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok, di mana The Gunners mahu mengekalkan kelebihan mereka di tangga teratas.

Arsenal kini berkelebihan lima mata di depan pencabar terdekat, Manchester City -- yang akan berdepan Wolves malam ini -- dan turut berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding juara bertahan berkenaan.

Kemenangan ke atas United akan menyaksikan The Gunners mengambil langkah yang besar dalam pemburuan gelaran EPL keempat mereka -- dan yang pertama sejak berakhirnya era di mana mereka pernah bersaing dengan The Red Devils dalam merebut gelaran-gelaran utama.

Beberapa pertemuan di antara Arsenal bimbingan Arsene Wenger dan United kendalian Alex Ferguson satu ketika dahulu berlangsung dengan amat panas sewaktu kedua-dua pasukan berkenaan merajai EPL pada awal abad ini.

Arteta berkata pasukannya kini bersedia untuk melakukan tugas-tugas kotor dalam pemburuan gelaran musim ini.

"Aspek fizikal merupakan satu keperluan, tanpanya, anda tidak boleh bersaing selama 11 bulan dalam keadaan seperti yang sedang kami usahakan. Kami telah mencuba untuk membina sebuat pasukan yang memiliki segala-galanya," katanya.

Ditanya adakah Arsenal memiliki kekentalan untuk menyekat City daripada memintas mereka seperti yang biasa dilakukan pasukan juara bertahan itu sebelum ini, Arteta menambah: "Kami tidak pernah melakukannya sepanjang bertahun-tahun lalu.

"Untuk berada dalam perebutan gelaran, ia merupakan sesuatu yang anda perlu buktikan bahawa anda boleh melakukannya.

"Tiada guna bercakap mengenainya. Kami perlu melakukannya di atas padang," katanya lagi.