Mikel Arteta berkata dia perlu mencari penyelesaian terbaik selepas Gabriel Jesus dilaporkan terpaksa berehat selama tiga bulan selepas menjalani pembedahan lutut.

Penyerang Brazil itu terlepas baki saingan Piala Dunia Qatar 2022 selepas mengalami kecederaan itu ketika membantu Brazil menentang Cameroon dalam saingan Kumpulan G.

Berdasarkan sumber di Brazil, Jesus akan berehat selama tiga bulan sambil pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, mengesahkan kelmarin bahawa Jesus sudah memulakan program pemulihannya.

Pemain berusia 25 tahun itu memainkan peranan penting membantu permulaan cemerlang The Gunners dalam EPL musim ini, di mana mereka kini berada kedudukan teratas dengan kelebihan lima mata selepas 14 perlawanan.

Dengan jendela perpindahan pemain akan kembali dibuka bulan depan, Arteta mendedahkan bahawa kelab itu sedang berusaha untuk menampung kehilangan Jesus dengan cara terbaik.

"Apa yang akan terkesan adalah kami secara satu pasukan kerana dia memberikan sumbangan yang amat banyak," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu.

"Jadi, apa yang kami boleh lakukan selepas itu, apabila kami mengetahui jangka masa (pemulihannya) dan bila kami akan mendapatkannya kembali, kami akan melihat kepada pilihan yang kami ada dan akan memnbuat keputusan yang tepat.

"Saya fikir pasukan saya amat bagus. Malangnya, kami berdepan masalah kecederaan dan kami akan cuba untuk melihat apa yang boleh kami lakukan untuk menjadi kuat. Kami memiliki ramai pemain dan kami juga memiliki ramai pemain gantian.

"Persoalannya, adakah kami memiliki pemain yang boleh memberikan kami persembahan terbaik dan konsisten yang kami perlukan untuk kekal dan meningkat daripada di mana kami berada ketika ini?" katanya.