Mikel Arteta mencabar Arsenal agar tidak berhenti dalam usaha mereka untuk memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas melebarkan penguasaan kepada lima mata di atas pencabar terdekat, Manchester City.

Jaringan berganda Gabriel Martinelli selain masing-masing satu gol daripada Bukayo Saka dan Martin Odegaard, membantu Arsenal membelasah Everton 4-0 dalam perlawanan EPL itu awal pagi tadi.

Biarpun Arsenal kelihatan bermula perlahan ketika menentang lawan bimbingan Sean Dyche berkenaan, mereka kemudian kembali mempamerkan permainan sebenar untuk meraih kemenangan liga ketiga berturut-turut -- juga kemenangan ke-100 ke atas Everton dalam saingan liga.

Ditanya sama ada kemenangan terbaru itu akan meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara, Arteta berkata: "Anda sudah tahu bagaimana jawapan saya.

"Apa yang saya gemar adalah setiap pemain mempunyai keinginan untuk melakukannya dan kami tidak boleh menghentikannya -- kami perlu meningkatkannya.

"Tetapi bagaimana kami dapat meningkatkannya adalah dengan melihat kembali perlawanan ini dan memahami terdapat banyak perkara yang perlu kami perbaiki, terutama dalam babak pertama.

"Kami boleh bermain dengan lebih baik dan memastikan kami bersedia dengan baik untuk bertemu Bournemouth kerana ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar," katanya.