Pengurus Tottenham, Antonio Conte, percaya Richarlison akan mudah menghadapi suasana 'Derby London Utara' menentang Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates malam ini.

Ia hanya berselang beberapa hari selepas pemain itu mejadi mangsa ejekan perkauman ketika Brazil membelasah Tunisia di Perancis.

Dalam insiden itu, penyerang berkenaan dibaling pisang selepas menjaringkan gol kedua Brazil ketika menewaskan Tunisia 5-1.

Menjelang aksi penting menentang pendahulu EPL, Arsenal, Conte berkata: "Anda sedang bercakap tentang seorang pemain yang tiada perasaan takut.

"Dia seorang pemain yang dalam setiap keadaan, juga dalam sesi latihan, akan menunjukkan sepenuh komitmen tetapi perkara pertama yang saya dapat lihat daripadanya adalah dia tidak memiliki perasaan takut.

"Dia tidak takutkan sesiapa. Dia tidak takut dengan suasana, dengan kadaan bising. Dia amat gagah.

"Di atas padang sewaktu menghadapi lawan... amat sukar untuk menghadapinya kerana dia tidak berasa takut," katanya.

Richarlison terbukti berhasil menciptakan impaknya sebaik tiba di Spurs daripada Everton dengan tanda harga £52 juta (RM268.85 juta) awal musim ini.

Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan dua gol pertamanya buat kelab itu ketika mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Marseille dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bulan lalu.