Giacomo Raspadori membenam England di Milan serta menurunkan lawan itu dari Kumpulan A3 ke Liga B, Liga Negara-Negara UEFA (UNL) dengan berbaki satu perlawanan.

Penantian England terhadap jaringan daripada permainan terbuka berlanjutan ke lima perlawanan, dan cemuhan “boo” terhadap Gareth Southgate dan barisan kendaliannya, menyimpulkan persembahan mereka.

Di kala tarikh sepak mula Piala Dunia 2022 berbaki kurang dua bulan lagi, aksi longlai
salah satu pasukan kegemaran ramai, England, menimbulkan keresahan dalam hati penyokong
setia.

Kekalahan 0-1 di tangan Itali awal pagi tadi meneruskan rentetan kekalahan The Three Lions dalam UNL -- menambahkan lagi keperitan selepas dibelasah 0-4 oleh Hungary pada Jun lalu.

Pada saat ini, prestasi England jauh sekali berbeza berbanding saat mereka beraksi di pentas Euro 2020 tahun lalu.



Serentak dengan itu, media negara mereka berkata bahawa ia bakal menjadi satu
keajaiban jika pasukan berjaya mereplikasi pencapaian yang dikecapi sewaktu kejohanan
tersebut.

Satu demi satu seteru ketat menanti England di bumi Qatar kelak - - Wales di peringkat kumpulan, kemungkinan Belanda di peringkat 16 terakhir dan mungkin juga Perancis di peringkat suku akhir, itu pun jika England berjaya mara sejauh itu dan tidak tersingkir awal.

Southgate dilihat masih optimis di sebalik mengakui yang prestasi anak-anak buahnya berada dalam keadaan merisaukan.

Namun, satu-satunya cara untuk kembali ke landasan yang dihajati adalah dengan kekal percaya terhadap kebolehan masing-masing, mengimbas kembali kunci kejayaan sewaktu kejohanan yang lalu dan pemain harus kekal bersatu.

Nada optimis ini disokong oleh pemain tengah bertahan West Ham United, Declan Rice,
yang mempertahankan bahawa persembahan England tidaklah seteruk mana.

Malah, seperti didakwanya, mereka membuktikan yang mereka mampu mengawal permainan dan melakukan hantaran-hantaran yang baik sesama pemain, namun masih tumpul dalam aspek penyudah.

Aksi dalam Piala Dunia kelak bakal menunjukkan kemajuan drastik, ujar Rice lagi.

Biarpun tewas, pemain-pemain muda seperti Phil Foden dan Jude Bellingham menunjukkan
persembahan yang wajar dipuji dan diharapkan dapat menjadi tunjang pasukan dalam cabaran
yang bakal menanti.



England bakal berhadapan dengan Jerman dalam perlawanan persahabatan terakhir beberapa
hari lagi sebelum memulakan aksi Piala Dunia menentang Iran pada tanggal 21 November.

Sama ada kejohanan akan datang ini menjadi satu revolusi baru untuk England ataupun satu
lagi kegagalan memalukan, ia adalah soalan yang masih belum jelas jawapannya.