Kritikan Cristiano Ronaldo terhadap pemain muda boleh difahami, kata rakan sepasukan penyerang itu di Manchester United, Anthony Elanga, yang masih mempertahankan pemain senior itu selepas komen kontroversinya.

Ronaldo menghadapi musim hambar selepas dilaporkan mahu meninggalkan United pada jendela perpindahan lalu dan masa depannya bersama pasukan itu kini sekali lagi kelihatan akan berakhir berikutan temu bual kontroversinya bersama Piers Morgan.

Selain mendakwa pemain senior di Old Trafford mengkhianatinya dan mengakui tiada rasa hormat terhadap pengurusnya, Erik ten Hag, Ronaldo turut berkata pemain muda di kelab itu "tidak mengambil peduli".

Ditanya penerbitan Sweden, Aftonbladet, mengenai komen Ronaldo itu, Elanga berkata: "Cristiano bercakap tentang pemain muda secara umum.

"Kami adalah generasi baru. Saya sentiasa memberikan tumpuan 100 peratus terhadap apa yang saya lakukan tetapi saya dapat faham apa yang dia katakan.

"Sekarang terdapat telefon bimbit dan banyak teknologi, amat mudah untuk pemain muda terganggu dan hilang fokus. Pemain muda di United mendengar kata tetapi saya faham apa yang dikatakannya," katanya.

Elanga juga kekal menganggap bahawa Ronaldo membawa pengaruh yang positif dalam perkembangan kariernya sejak pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu kembali ke pangkuan United pada Ogos tahun lalu.

"Dia banyak membantu saya, bukan sahaja di atas padang malah di luar padang juga.

"Dia satu inspirasi, bukan hanya untuk saya malah buat keseluruhan pemain muda di United.

"Adakala, hanya saya berdua dengannya di gimnasium.

"Apabila saya bersamanya, dia tidak pernah berubah. Dia masih Cristiano Ronaldo. Dia banyak membantu saya," katanya lagi.