Teo Ee Yi bakal menyertai Terbuka Australia pada 15 November biarpun terpaksa meninggalkan isteri baru melahirkan bayi pertama mereka.

Menjelang Terbuka Denmark yang membuka tirai 18 Oktober ini, Ee Yi-Ong Yew Sin mengintai sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir selepas berehat panjang lebih dari sebulan dalam usaha terus mencari mata ke Jelajah Akhir Dunia BWF.

"Saya tidak letak sasaran khusus, setakat suku akhir dan separuh akhir.



"Lagipun kejohanan tidak banyak yang tinggal lagi. Tambahan pula kami tidak akan menyertai Terbuka Hylo dan Terbuka Jerman sebab saya akan menyambut kelahiran anak," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di ibu negara.

Hanya lapan terbaik sahaja akan layak beraksi Jelajah Akhir Dunia BWF yang bakal berlangsung di Guangzhou, hujung tahun ini.

Ee Yi-Yew Sin serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi dua wakil negara yang layak setakat ini berikutan menghuni ranking kelima dan keenam siri jelajah dengan perbezaan hampir 1,500 mata.

Dalam masa sama, Ee Yi berkongsi kekecewaanya dan kesan kekalahan dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia BWF yang berlangsung bulan lalu hingga hampir berputus asa.

Bagaimanapun, hasil motivasi yang diberikan oleh rakan sepasukan dan jurulatih, Ee Yi kembali bangkit dengan semangat berbeza untuk memburu kejuaraan dalam baki kempen 2022.

"Saya cuba elakkan fikiran negatif, contohnya mengenai cara permainan saya -- sama ada saya perlu beraksi lebih santai atau seumpamanya.

"Kami akan terus berusaha dan tengopklah satu hari nanti, rezeki mungkin akan datang," katanya lagi.