PDRM masih menunggu ketibaan dua tonggak import bagi mempersiapkan pasukan dan antaranya pemain tengah Myanmar, Kyaw Min Oo.

Menurut jurulatih, Azmi Aziz, dia sendiri tidak tahu mengapa pemain import itu masih belum tiba di Kuala Lumpur.

Min Oo disenaraikan untuk kesemua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF bulan lalu ketika memperkuatkan pasukan kebangsaannya.

"Kami menandatangi enam pemain import dan dua daripadanya belum sampai lagi, mungkin ia membabitkan faktor perjalanan.




"Seorang daripadanya merupakan pemain Nigeria dan seorang lagi dari Myanmar.

"Saya harap mereka dapat menyertai pasukan dalam masa terdekat," katanya sebelum mengemudi sesi latihan.

PDRM sudah mempunyai empat orang pemain import ketika ini yang terdiri daripada Bruno Suzuki yang kembali ke Malaysia setelah setahun berkelana ke Liga Thailand, Marcus Macauley (Liberia), James Okwuaosa (Nigeria) sementara Fadi Awadari (Jordan) merupakan satu-satunya import yang dikekalkan dari musim lalu.

Setakat ini, Azmi berpuas hati melihat gandingan pemain-pemain barunya sepanjang tiga minggu latihan.

Hanya empat pemain senior dari skuad 2022 kekal bersama skuad Sang Biru untuk menghadapi cabaran dalam Liga Super 2023.

"Apa yang penting adalah suasana dalam pasukan. Mereka mahu bersama-sama membentuk pasukan.

"Majoriti pasukan ini terdiri daripada muka baru tapi dengan keserasian yang ditunjukkan dan komunikasi baik dalam kalangan pemain, ia memudahkan barisan kejurulatihan," katanya lagi.