Richarlison menjaringkan dua gol ketika Brazil menewaskan Ghana 3-0 dalam aksi persahabatan di Perancis awal pagi tadi.

Persembahan separuh masa pertama Brazil memberikan penyokong keterujaan menjelang saingan Piala Dunia apabila mereka mengejar gelaran yang keenam.

Mereka mendominasi Ghana daripada permulaan permainan dengan pendekatan yang agresif di jentera serangan yang dibarisi pemain seperti Vinicius Jr., Raphinha, Richarlison dan Neymar, yang meraih dua bantuan jaringan.

Marquinhos membuka jaringan pada minit kesembilan apabila menanduk masuk bola hantaran silang Raphinha.

Richarlison menggandakan jaringan 19 minit kemudian sebelum meraih jaringan kedua peribadi dan yang ketiga buat Brazil lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.

“Saya harap penyokong Brazil lebih percaya kepada saya kerana bersama skuad kebangsaan saya banyak menjaringkan gol,” kata Richarlison.

"Saya memakai jersi nombor sembilan dan setiap kali saya memakainya saya menjaringkan gol. Saya datang ke sini, dan saya melakukan kerja saya."

Brazil berdepan Tunisia di Paris dalam aksi berikutnya, dengan perlawanan terakhir sebelum aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia bertemu Serbia 24 November.