Borussia Dortmund melengkapkan proses menandatangani penyerang Ajax, Sebastien Haller, dengan kontrak empat tahun yang dilaporkan bernilai €36 juta (RM162.48 juta).

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai kelab Bundesliga berkenaan selepas pemergian Erling Haaland ke Manchester City, di mana Dortmund turut mendatangkan seorang lagi penyerang, Karim Adeyemi, daripada RB Salzburg dalam jendela perpindahan kali ini.

Selepas kecewa dengan perjalanan kariernya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama West Ham, Haller mula menyerlah bersama Ajax di Belanda, di mana dia memperoleh tempoh prolifik sepanjang 18 bulan, termasuk menghasilkan 11 gol hanya dalam lapan perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2021-22.

Daripada jumlah itu, dia menjaringkan empat gol ke atas Sporting dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan selain turut menemui sasaran dalam kedua-dua perlawanan menentang Dortmund di peringkat itu.

Secara keseluruhan, dia menjaringkan gol dalam setiap perlawanan UCL kecuali ketika tewas 0-1 kepada Besiktas dalam aksi kedua pusingan 16.

Haller juga menamatkan Eredivisie musim lalu dengan 21 gol selain mempunyai sejarah di Jerman dengan mendaftarkan 33 gol dan 19 bantuan jaringan sepanjang dua musim bersama Eintracht Frankfurt.

Dortmund mengesahkan ketibaan penyerang itu dalam laman web rasmi mereka malam tadi dan pemain kebangsaan Ivory Coast berkenaan akan memakai jersi nombor sembilan, yang sebelum ini dipakai Haaland, bagi musim baru ini.