Penyerang Borussia Dortmund, Sebastien Haller, terpaksa menarik diri daripada kem pra-musim di Switzerland berikutan dikesan mempunyai barah, demikian kelab itu mengesahkan perkembangan tersebut.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu yang dipancing daripada Ajax pada awal bulan ini telah kembali ke Jerman untuk ujian lanjut.

Pasukan Bundesliga itu meminta privasi pemain berusia 28 tahun itu dan keluarganya dihormati sambil menambah mereka akan memberikan maklumat terkini.

Haller pada mulanya mengadu berasa tidak sihat selepas sesi latihan semalam sebelum pemeriksaan perubatan seterusnya menemui barah di buah zakarnya.



"Berita ini hari ini mengejutkan Sebastien Haller dan kami semua," kata Pengarah Sukan Dortmund, Sebastian Kehl.

"Seluruh keluarga BVB mendoakan agar Sebastien pulih sepenuhnya secepat mungkin dan kami boleh menyambutnya semula tidak lama lagi.

"Kami akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan dia menerima rawatan yang terbaik."