Sri Pahang FC menggagalkan misi Selangor untuk meraih kemenangan pertama di tempat lawan dalam saingan Liga Super musim ini apabila menundukkan skuad Gergasi Merah 2-0 semalam.

Dollah Salleh menganggap disiplin pemain menjadi kunci kejayaan skuad Tok Gajah selain berpuas hati dengan peningkatan tahap kecergasan dan benteng pertahanannya merekodkan clean sheet pertama pada musim 2022.

Dua gol pasukan tuan rumah terhasil menerusi jaringan Steven Rodriguez pada minit ke-34 sebelum Abdul Malik Mat Ariff mencetak jaringan kedua, lima minit kemudian.

Dollah mengakui kemenangan itu belum meletakkan Sri Pahang FC dalam prestasi terbaik, namun bangga barisan anak buahnya mampu melaksanakan taktikal dan strategi dipersiapkan untuk mengucar-ngacirkan barisan tengah Selangor yang dianggap menjadi kelebihan pihak lawan.

"Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kemenangan namun terdapat beberapa pemain yang kelihatan agak kepenatan menjadi faktor kami melakukan pertukaran," kata Dollah.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner, menegaskan percaturannya serba tidak menjadi apabila banyak peluang terhidang gagal diterjemahkan kepada jaringan dalam aksi 90 minit berlangsung semalam.

Tambahnya, jika Selangor FC raih sekurang-kurangnya satu gol, dia percaya keputusan perlawanan akan menjadi berbeza, namun nasib tidak menyebelahi mereka yang menghadapi ketumpulan jentera serangan dan barisan pertahanan kurang peka.

"Kami bermula baik, seperti perlawanan bertemu Sabah. 30 minit pertama kami memiliki peluang yang terhidang namun inilah bola sepak. Jika gagal melunaskan peluang, pasukan akan sentiasa cenderung untuk dihukum," katanya.