Pemain sayap Juventus, Angel Di Maria, mahu menamatkan kariernya di tempat ia bermula, iaitu bersama Rosario Central di Argentina.

Di Maria, 34, menyertai Rosario sewaktu berumur empat tahun dan menghabiskan 15 tahun bersama kelab itu sebelum prestasinya dalam Piala Dunia B-20 memikat Benfica.

Perpindahannya ke Benfica merupakan permulaan karier gemilangnya di Eropah, di mana dia kemudian mewakili Real Madrid, Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum tiba di Itali untuk bersama Juventus.

Di sebalik segala kejayaannya di Eropah, Di Maria meluahkan impiannya untuk kembali ke tempat asalnya, Rosario, dalam satu temu bual bersama bekas pemain kebangsaan Argentina, Ezequiel Lavezzi.

"Saya mahu kembali ke Rosario. Saya tahu ia sukar tetapi saya setiasa katakan, impian setiap pemain Argentina adalah untuk bermain di Eropah, saya pula berharap suatu hari nanti dapat kembali menyarung jersi Rosario Central.

"Itu realitinya. Saya sentiasa katakannya. Jika saya dapat peluang, saya mahu melakukannya," katanya.

Rosario kini menduduki tangga ke-19 daripada 28 pasukan dalam liga divisyen utama Argentina dan dengan kekuatan pembelian yang rendah, Di Maria perlu mengalami penurunan gaji yang besar untuk menjadikan impian itu satu realiti.