Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan mengakui kecewa terlepas tiket ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada musim depan.

Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan itu, dia tetap gembira dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya pada musim pertama mereka beraksi dalam Liga Super melebihi jangkaan yang diletakkan oleh pihak pengurusan.

"Pada awalnya kami tidak meletakkan kedudukan setinggi ini dan ia pencapaian yang boleh dibanggakan pasukan dan pengurusan kelab. Cuma kami sedikit kecewa kerana berpeluang untuk ke Piala AFC, tetapi tewas dalam perlawanan terakhir liga.




"Apa pun, saya tetap gembira kerana dalam aksi liga, kami pasukan yang tekal dan pemain seharusnya layak diberikan pujian," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.


Dalam pertemuan malam tadi, NSFC terpaksa akur tumpas 0-2 kepada Sri Pahang FC apabila dibolosi dua kali oleh David Rowley masing-masing pada minit ke-27 dan 47.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh, mengakui terkejut dengan sumbangan dua gol oleh David Rowley yang baru pulih daripada kecederaan buku lali.

Menurutnya, pemain tengah berdarah kacukan itu hanya melepasi ujian kecergasan saat akhir untuk diturunkan dan dia memuji sumbangan pemain tersebut.




“Memang saya pun tak sangka dia boleh hasil dua gol, dia dah lama tak turun latihan sejak perlawanan menentang Sarawak, kerana kecederaan buku lali.

“Semalam (Jumaat dia) baru turun latihan, itu pun dia ambil ubat tahan sakit untuk beraksi malam ini (Sabtu). Syukur dia dapat sumbat dua gol, malah hampir menjaringkan hatrik.

“Itu kelebihan dia, apabila kita bagi main dia jarang menghampakan,” ujar Dollah.

Kredit: Sinar Harian