Gerard Deulofeu bakal menjalani pembedahan susulan kecederaan lutut serius yang dialami sewaktu Watford mencipta kejutan dengan kemenangan ke atas Liverpool, hujung minggu lalu.

Pemain sayap Sepanyol itu mengalami kecederaan itu dalam babak pertama susulan halangan daripada Virgil van Dijk sambil Watford menikmati kemenangan 3-0 di Vicarage Road.

Menerusi laman Twitter kelab, wakil pasukan berkata: "Deulofeu sedia menjalani pembedahan selepas imbasan mengesahkan dia mengalami masalah di bahagian lutut dalam separuh masa pertama sewaktu menentang Liverpool.

"Cepat sembuh Deulofue, kami semua bersama anda!"

Pengurus The Hornets, Nigel Pearson, juga mengesahkan bekas pemain Barcelona itu tidak akan menyambung cabaran musim ini ketika temubual bersama Sky Sports, kelmarin.

"Malang buat kami, proses imbasan mencetuskan kemungkinan dia akan direhatkan sehingga akhir musim," ujar pengendali itu.

"Imbasan awal menunjukkan kecederaan lutut yang dialami itu sangat menyedihkan kami kerana dia merupakan pemain penting buat Watford."

Kemenangan ke atas Liverpool yang menyaksikan The Reds meraih kekalahan pertama musim ini membolehkan anak buah Pearson keluar daripada kelompok tiga terbawah liga.