REAL MALLORCA 0 BARCELONA 1

Xavi mencadangkan Luuk de Jong boleh kekal di Barcelona melangkaui jendela perpindahan bulan ini selepas membantu pasukannya memungut tiga mata ketika menentang Real Mallorca.


Tempoh pinjamannya daripada Sevilla dijangka ditamatkan bulan ini dan penyerang itu sepatutnya perlu menyertai rakan sepasukan baru, Cadiz, bagi baki LaLiga musim ini.

Bagaimanapun, sentuhan pemusnah pemain antarabangsa Belanda itu ditagih ketika mereka menentang Mallorca sebaik kembali daripada beberapa kes COVID-19 yang menular di kem Blaugrana.

Selepas dua percubaannya terkena tiang pintu gol lawan, De Jong menanduk masuk gol kedua liganya musim ini pada minit ke-44 bagi memuktamadkan kemenangan 1-0 di Palma, awal pagi tadi.

Justeru, dia muncul pemain Barca pertama selepas Lionel Messi yang menggegar tiang gol sebanyak dua kali dalam sebuah perlawanan LaLiga sejak Ogos 2019.

Tatkala Xavi masih menunggu anak buahnya yang lain untuk kembali cergas, dia membayangkan De Jong mungkin masih mempunyai masa depan di Camp Nou untuk baki 2021-22.

"Dia adalah contoh kepada seorang pemain profesional," kata Xavi dalam sidang akhbar selepas perlawanan.





“Dia boleh angkat kaki tetapi dia terus berusaha, dia mengorbankan dirinya. Dia seorang yang profesional.

"Saya gembira dengannya. Sudah tentu saya fikir untuk kekalkannya kerana hari ini dia amat berguna buat kami. Dia menjadi contoh kepada semua orang.

"Bergantung kepada cara anda berlatih demi mendapat tempat untuk beraksi. Kami memikirkan tentang masa depan. Kami akan melihat sekiranya ada ruang pembelian atau penjualan. Tetapi semuanya sedang dibincangkan."