Kevin de Bruyne berkata dia teruja untuk bergandingan dengan "penyerang terbaik", Erling Haaland, di Manchester City, sambil mengakui kedatangan pemain berusia 21 tahun itu dapat membantunya menghasilkan lebih bantuan jaringan.

De Bruyne dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana Inggeeris (EPL) selepas City, pada bulan lalu, menjulang trofi keempat liga utama itu sepanjang lima musim terakhir.

Dia juga merupakan pemain tengah dengan jaringan terbanyak di bawah bimbingan Pep Guardiola selepas mendaftarkan 15 gol dan lapan bantuan jaringan sepanjang musim 2021-22.

Walaupun kembali mendapatkan rentak jaringan terbaiknya, pemain kebangsaan Belgium itu berasakan masih ada kekurangan daripada segi bantuan jaringan berbanding 20 yang dilakukannya dalam musim 2019-20 (rekod tertinggi dalam EPL yang turut dilakukan Thierry Henry musim 2002-03) tetapi dia berasakan kehadiran Haaland dapat membantunya mengatasi masalah itu.

Penyerang Poland itu mendaftarkan 86 gol daripada 89 penampilan bersama Borussia Dortmund sejak menyertai pasukan itu daripada RB Salzburg pada Januari 2020 dan De Bruyne dijangka akan membantu penyerang muda berbakat berkenaan meledak lebih banyak gol selepas sah mengikat kesepakatan untuk berpindah ke Stadium Etihad.

Bercakap kepada media Belgium, HLN, De Bruyne berkata keputusan City untuk mendatangkan Haaland merupakan satu keputusan yang baik buat pasukan itu dan dirinya sendiri.

"Erling Haaland merupakan penyerang terbaik. Perpindahannya akan membantu kami untuk berkembang sebagai satu pasukan.

"Semua orang meletakkan harapan yang tinggi. Mereka (City) sentiasa mencari pemain nombor sembilan tetapi saya fikir ia amat baik untuk mendapatkan seorang penyerang yang boleh menjaringkan 20 hingga 25 gol semusim," katanya.

Ditanya sama ada kehadiran Haaland akan membantunya atau tidak, De Bruyne menambah: "Mungkin terdapat tahun-tahun lalu, di mana saya dapat melakukan lebih banyak bantuan gol.

"Tetapi peluang yang saya dapat cipta masih kekal konsisten. Nombor sentiasa menjadi sebahagian daripada bola sepak tetapi ia tidak dapat menggambarkan keseluruhan cerita sebenar."