Penyerang Petaling Jaya City FC, Darren Lok, mahu menjadikan Liga Super 2022 sebagai platform terbaik untuk kembali menyerlah dan kekal cergas selepas terpaksa disisihkan sebanyak 13 perlawanan liga musim lalu berikutan kecederaan fibula dan abdomen.

Penyerang kelahiran England berusia 31 tahun itu bersedia untuk menjulang PJ City ke aras lebih tinggi selepas menamatkan Liga Super musil lalu di tempat ketujuh.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, Darren turut berharap dapat kembali menyertai skuad kebangsaan selepas turut dipinggirkan daripada saingan Piala Suzuki AFF bulan lalu.

Ditanya mengenai harapannya bagi musim 2022, Darren berkata: "Saya harap akan bebas kecederaan sepanjang musim dan dapat menamatkannya dengan lebih baik bersama PJ City.

"Kami melalui musim yang hebat tahun lalu dan dengan beberapa pembelian pemain baru yang bagus, amat penting untuk kami mendapatkan musim yang lebih hebat tahun ini.

"Saya menikmati musim lalu kerana ia kali pertama saya diberikan banyak pendedahan dalam perlawanan dan dapat bermain setiap minggu.

"Malangnya, kecederaan sedikit menjejaskan musim saya tetapi saya yakin segalanya sedang berjalan dengan baik dan harap-harap saya dapat kembali ke tahap terbaik seperti musim lalu dan bermula semula dengan lebih kuat," katanya.



Mengenai peluangnya bersama skuad kebangsaan, dia menambah: "Ia sentiasa menjadi momen membanggakan untuk mendapat panggilan kebangsaan walaupun sudah tiga atau empat tahun sejak kali terakhir saya mewakili Malaysia.

"Malangnya, saya cedera pada penghujung musim lalu dan tidak dapat bersama skuad negara ke Piala Suzuki AFF.

"Ia sesuatu yang mengecewakan tetapi jika saya dapat terus menemui jaringan, saya harap akan mendapatkan kembali peluang itu."