Dani Alves menyifatkan kesempatan untuk dia kembali bermain untuk Barcelona sebagai "kurniaan yang amat istimewa" selepas melakukan penampilan pertamanya sejak kembali ke pangkuan pasukan itu dalam perlawanan Copa del Rey menentang Linares Deportivo awal pagi tadi.

Pemain veteran itu beraksi selama 90 minit buat pasukan bimbingan Xavi berkenaan di Linarejos, di mana jaringan Ousmane dembele dan Ferran Jutgla memastikan kemenangan 2-1 Barca ke atas pasukan daripada liga divisyen tiga berkenaan.

Pemain berusia 38 tahun itu didaftarkan buat kali pertama dalam perlawanan berkenaan setelah kembali menyertai Barca daripada Sao Paolo pada November lalu.

Alves turun melakukan penampilannya yang ke-248 -- yang pertama sejak Mei 2016 -- buat Blaugrana, di mana dia pernah menjulang 23 trofi sepanjang tempoh pertamanya.

Dan dia memuji kekuatan mental rakan sepasukannya untuk bangkit daripada jaringan pembukaan Hugo Diaz dan memenangi perlawanan itu.

Alves dipetik sebagai berkata kepada AS: "Bagi saya, ia satu hari yang istimewa untuk sekali lagi menyarung jersi Barca.

"Untuk kembali beraksi dalam perlawanan rasmi buat Barca, ia satu kurniaan yang amat istimewa.

"Saya hanya mahu bermain dengan rakan sepasukan saya, membantu mereka dan meningkatkan mereka.

"Ia satu kejohanan yang banyak kejutan. Kami sedar ia sesuatu yang sukar tetapi mental kami amat kuat.

"Anda perlu belajar untuk bersaing dan berjuang sehingga ke penghujung.
"Hanya mereka yang kenal erti kesengsaraan akan menjulang trofi. Hari ini, kami berjaya," katanya.