Penjaga gol Sabah FC, Damien Lim, mengakui lega dapat mempamerkan persembahan terbaik meskipun beraksi dalam keadaan yang belum cergas sepenuhnya akibat daripada kecederaan yang dialami ketika aksi suku akhir berdepan Kuching City FC Jumaat lalu.

Damien yang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan turut memberikan kredit kepada rakan sepasukan yang bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit permainan.

Ketangkasan penjaga gol kelahiran Kuala Lumpur itu menyaksikan dia berjaya menafikan sepakan penalti penyerang berbisa Harimau Selatan, Bergson da Silva pada minit ke-59 permainan.

"Pujian diberikan kepada semua rakan sepasukan. Kami telah bermain dengan baik dan berharap beraksi di SSI nanti, kami mampu menghadirkan permainan yang lebih baik," kata Damien.

'10 layangan kad kuning, 1 kad merah', situasi itu sudah cukup untuk menceritakan betapa panasnya aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Likas semalam.

Jaringan tunggal Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34 menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa bekalan kelebihan satu gol ke Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi keduayang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

"JDT telah bermain dengan baik. Sabah menghadirkan asakan terhadap kami. Corak serangan balas dan pemain yang cukup pantas menghadirkan kesukaran buat kami. Tetapi kami berjaya memastikan kemenangan terdapat 90 minit menanti kami di Johor," kata jurulatih JDT, Hector Bidoglio.

"Satu perlawanan yang agak tegang. Sabah beraksi di laman sendiri buat kali terakhir, kami telah menampilkan usaha yang terbaik," kata pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee.

"Walaupun tanpa tonggak utama, kami masih lagi dapat cuba melakukan yang terbaik."