Cristiano Ronaldo tidak terpengaruh dengan kritikan terhadap keputusannya untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr, apabila mengisytiharkan bahawa tugasnya di Eropah telah pun selesai.

Selepas kontraknya di Manchester United ditamatkan pada November lalu gara-gara mengkritik kelab itu dalam temu bual bersama Piers Morgan, Ronaldo kemudian mengesahkan perpindahannya ke Al Nassr minggu lalu.

Keputusannya untuk menyertai kelab yang berpangkalan di Riyadh itu telah mengejutkan ramai pihak, lebih-lebih lagi ia berlaku hanya beberapa bulan selepas Ronaldo cuba meninggalkan United untuk beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara (UCL).


Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu percaya dia tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dibuktikan dalam bola sepak Eropah, malah mendedahkan sempat menolak tawaran daripada beberapa kelab demi menandatangani perjanjian dua setengah tahun bersama Al Nassr.

"Saya sangat berbangga untuk membuat keputusan besar ini dalam hidup saya dan dalam bola sepak," kata Ronaldo dalam majlis perkenalannya malam tadi.




"Di Eropah, tugas saya sudah selesai. Saya memenangi segala-galanya dan mewakili kelab terpenting di Eropah.

“Ini adalah peluang yang baik buat saya, bukan sahaja dalam bola sepak tetapi untuk mengubah mentaliti generasi baharu di Arab Saudi.

"Saya mempunyai banyak peluang di Eropah, di Brazil, di Amerika Syarikat dan juga di Portugal, tetapi saya mahu mengotakan janji kepada kelab ini, untuk peluang membangunkan bola sepak di negara yang menakjubkan ini."