CREMONESE 1 NAPOLI 4

Pengurus Napoli, Luciano Spalletti, memberi pujian terhadap cabaran sengit yang dijelmakan Cremonese di sebalik kemenangan bergaya 4-1 pelawat di Stadium Giovanni Zini, awal pagi tadi.


Pendahulu Serie A itu diramalkan akan berdepan tugas mudah sebelum sepak mula tetapi jaringan penyamaan Cyriel Dessers -- pada awal separuh masa kedua yang memadam sepakan penalti Matteo Politano -- memberi gambaran gambaran berbeza dalam perlawanan berkenaan.

Napoli perlu menunggu hingga minit ke-76 untuk kembali mendahului menerusi Giovanni Simeone sebelum memperoleh jaringan berganda dalam masa kecederaan melalui penyudah Hirving Lozano dan Mathias Oivera.

“Ini bukan perlawanan yang mudah untuk kami kerana mereka mendapat gol penyamaan dan ia bertukar menjadi sukar dari situ, seterusnya menjadi pertarungan di tahap yang tidak sesuai dengan ciri-ciri kami.



“Kami tidak mampu memenangi bola kedua dengan kerap dan ia menjadi perlawanan yang janggal buat kami. Bagaimanapun, kami tidak pernah berputus asa dan akhirnya pendekatan kami mendapat ganjaran.

“Simeone menjaringkan gol yang hebat tetapi ia sukar buatnya pada hari ini. Cremonese tidak seharusnya berada di zon penyingkiran jadi saya harus mengucapkan tahniah atas prestasi mereka hari ini," katanya ketika diwawancara DAZN selepas perlawanan.

Tambahnya: “Saya mempunyai perasaan bahawa pasukan ini tidak pernah membiarkan tahap keamatan menurun, itulah sebabnya mereka menyarung jersi Napoli.

"Hasrat kami sentiasa sama, kami akan sentiasa turun dengan berikan yang terbaik.

"Ia menjadi lebih mudah bagi seorang jurulatih apabila memiliki sekumpulan pemain seperti ini.”