Thibaut Courtois melaungkan hajatnya untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Real Madrid menjelang pertemuan dengan bekas kelabnya, Chelsea.

Los Blancos bertandang ke Stamford Bridge untuk perlawanan pertama suku akhir, awal pagi esok, sebagai aksi ulangan separuh akhir tahun lalu yang dimenangi oleh pasukan kendalian Thomas Tuchel itu dengan agregat 3-1 sebelum akhirnya ditabalkan juara.

Walaupun memenangi pelbagai kejuaraan sepanjang kariernya, ia kejayaan yang belum pernah dilalui oleh Courtois di peringkat kelab dan penjaga gol Belgium tersebut menyasarkan untuk mencapai gelaran diidamkannya itu musim ini.

Bercakap kepada laman sesawang rasmi Madrid menjelang pertembungan pertama di London itu, Courtois berkata: "Saya telah memenangi banyak trofi tetapi UCL adalah yang terbesar dalam bola sepak di peringkat kelab dan saya belum pernah memenanginya lagi.

"Jelas sekali adalah sangat istimewa bagi saya untuk memenanginya sebelum bersara. Saya masih ada masa. Saya akan terus cuba mengejar impian saya dan UCL merupakan salah satu daripadanya. Pengembaraan ini akan diteruskan."





Pemain berusia 29 tahun itu muncul naib juara edisi 2014 ketika mewakili Atletico Madrid, secara kebetulan tewas kepada musuh setempat tersebut di Lisbon.

Courtois juga membuat 154 penampilan bersama Chelsea sebelum berkelana ke Santiago Bernabeu pada 2018, jadi tidak hairanlah dia menaruh harapan agar tidak menerima sambutan dingin ketika kembali bertandang ke London.

“Saya harap dapat kembali ke Stamford Bridge dengan gembira,” katanya.

"Kini kami berseteru. Mereka pasti mahu menang dan perkara yang sama bagi saya, jadi saya tidak mengharapkan sebarang tepukan daripada peminat. Cuma saya harap mereka tidak ejek saya tetapi siapalah yang tahu.

"Saya sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan dan kami perlu lihat sejauh mana keadaannya.

"Saya gembira berpeluang kembali ke sana dengan kehadiran peminat memandangkan tahun lalu kami menentang mereka di stadium kosong."