Xavi belum berpuas hati dengan persembahan Barcelona walaupun berhasil meraih kemenangan tipis 1-0 dalam aksi El Clasico separuh akhir pertama Copa del Rey menentang Real Madrid di laman lawan dan percaya seteru mereka itu masih pasukan pilihan untuk ke final.

Jaringan sendiri Eder Militao dalam babak pertama di Santiago Bernabeu awal pagi tadi sudah cukup untuk Barca merakamkan kemenangan pada ketika Madrid menguasai hampir keseluruhan permainan dan melakukan 13 percubaan ke gawang Blaugrana.

Ketua jurulatih Barca itu gembira dengan kemenangan itu tetapi kelihatan masih mahu memberikan tekanan buat los Blancos menjelang perlawanan kedua pada 5 April ini dengan menegaskan bahawa lawan berkenaan masih pasukan pilihan untuk ke final.

"Kami hanya ada kelebihan tipis," katanya kepada wartawan.

"Kami perlu bersaing dengan lebih baik (dalam perlawanan kedua di Camp Nou). Kami perlu bertahan dengan lebih baik.

"Kami akan kembali ke gelanggang kami, bersama penyokong kami, ia sesuatu yang positif.

"Tetapi saya masih melihat Real Madrid sebagai pasukan pilihan," katanya.