ALCOYANO 1 REAL MADRID 3

Dua pemain gantian, Marco Asensio dan Isco, memastikan mimpi ngeri Real Madrid tidak berulang dalam Copa del Rey selepas pendahulu LaLiga itu memastikan kemenangan 3-1 ke atas Alcoyano dalam pusingan 16 awal pagi tadi.

12 bulan lalu, Madrid dikejutkan dengan kejutan terbesar dalam sejarah bola sepak Sepanyol apabila ditewaskan oleh lawan sama dari liga divisyen tiga itu di Estadio El Collao.

Eder Militao meletakkan Madrid di depan dalam babak pertama -- sama seperti yang dilakukannya setahun lalu -- tetapi Dani Vega kembali menyamakan kedudukan buat tuan rumah dalam babak berikutnya.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu, yang turun tanpa Karim Benzema, Thibaut Courtois, Luka Modric dan Vinicius Junior, kembali berada di depan hasil penyudah Asensio yang terbias pada 14 minit terakhir sebelum percubaan Isco melepasi kawalan penjaga gol, Jose Juan, pada minit ke-78.

Biarpun jaringan terakhir itu disahkan sebagai jaringan sendiri penjaga gol veteran berkenaan, usaha yang dilakukan Isco itu setidak-tidaknya memastikan kemaraan Madrid ke pusingan 16 dan mengelakkan mimpi ngeri setahun lalu berulang buat pasukannya.