Selepas kes pemain gagal lapor diri bersama skuad kebangsaan, timbul satu lagi isu pertanyaan apabila pertahanan berdarah kacukan, Dion Cools diturunkan lebih dari 10 minit dalam aksi FC Midtjylland menentang Aarhus Gymnastikforening semalam.

Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menjelaskan Cools belum pulih sepenuhnya menjadi faktor dia digugurkan dari senarai yang dibawa ke Amman, Jordan dalam persiapan menghadapi dua aksi persahabatan 6 dan 9 Oktober ini.

Pemain kacukan Malaysia-Belgium itu pada mulanya menjadi antara pemain yang berada dalam senarai awal skuad Harimau Malaya untuk kem latihan pada jendela perlawanan antarabangsa berdepan Jordan dan Uzbekistan.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun berkenaan terpaksa diketepikan atas faktor kecederaan dan ia menjadi tanda tanya apabila Cools berada dalam senarai kelabnya, diturunkan selaku pemain gantian pada minit ke-80.

Cheng Hoe mengesahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima makluman secara rasmi daripada pengarah sukan kelab Midtjylland tentang kecederaan dialami Cools pada tulang pinggul.

"Kami memantau tahap kecergasan Dion bersama kelabnya, walaupun dia telah diturunkan namun kami mengetahui dia masih belum di tahap terbaik dan bebas daripada kecederaan," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, Cools menerusi perkongsian di instagramnya, @djcools21 meminta peminat untuk memahami serta menghormati keputusan untuk tidak bersama pasukan kebangsaan.

Menurutnya lagi, semua pihak mengetahu betapa dia berasa cukup bangga beraksi untuk Malaysia, ia satu penghormatan dan setiap panggilan dilayan dengan serius.

Kini semua pihak mempersoalkan ketiadaanya bersama pasukan kebangsaan dan Coolos menjelas bahawa dia mengalami kecederaan serius dan belum pulih sepenuhnya.

Justeru, dia dan kelabnya berasakan adalah baik untuk menggunakan rehat perlawanan antarabangsa sebagai masa untuk berehat dan pulih kembali.

Malangnya dalam tempoh itu dia akan kehilangan dua tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Sementara itu, dua hari menjelang aksi menentang Jordan pada Rabu, Cheng Hoe tidak akan mengetepikan pemain muda serta muka-muka baru yang kali pertama menyertai skuad negara.

Khidmat pemain muda dan berpengalaman bakal digandingkan untuk memberi cabaran kepada pasukan di ranking ke-93 dunia, Jordan yang dianggap mempunyai kelebihan daripada segi teknikal dan fizikal.

Apa yang lebih penting, Cheng Hoe enggan hanya bertahan dalam aksi 90 minit malah mahu anak buahnya mencari peluang untuk melakukan serangan.

"Perlawanan pertama ini bukan sesuatu yang mudah kerana mengetahui kemampuan Jordan jauh lebih baik berbanding skuad negara.

"Dengan kombinasi pemain yang bakal diturunkan, saya yakin skuad negara akan dapat menghasilkan sesuatu dalam perlawanan ini."