TOTTENHAM 4 SOUTHAMPTON 1

Pengurus Tottenham, Antonio Conte, menghamburkan pujian terhadap impak besar yang dijelmakan Dejan Kulusevski selepas mendominasi Southampton, awal pagi tadi.


Kemenangan 4-1 di utara London itu menandakan kemenangan terbesar Spurs pada hari pembukaan sejak menewaskan Aston Villa 3-0 pada Ogos 1986.

Kulusevski membintangi persembahan itu apabila mencipta bantuan gol untuk jaringan penyamaan Ryan Sessegnon sebelum mencetak namanya sendiri selaku penjaring dalam babak kedua untuk meneruskan rekod mengagumkannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada enam gol dan sembilan bantuan jaringan dalam 17 perlawanan.

Dia mencipta tiga peluang menarik buat rakan sepasukannya dan dengan ketepatan hantaran setinggi 92.1 peratus selain empat terjahan bersih untuk membuktikan keupayaannya ketika bertahan.

"Dejan membawa impak besar termasuk musim lalu. Dia dan Rodrigo Bentancur menyesuaikan diri dengan sangat baik dengan skuad," katanya kepada BBC Sport.

“Dejan perlu kekal dengan cara ini malah bekerja lebih keras menerusi tingkah laku dan cita-citanya.

"Dia bercita-cita tinggi, dia mahu menjadi salah seorang pemain terbaik dalam peranannya. Saya rasa cita-cita ini bagus, jika dia terus merendah diri dan berusaha maka dia mampu mencapainya."



Kemenangan itu menyaksikan Conte tidak memberikan permulaan kepada mana-mana enam muka barunya dan pengurus tersebut percaya prestasi yang ditonjolkan anak buahnya mencerminkan usahanya membentuk skuad sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

"Ia adalah satu permulaan yang sempurna untuk kami walaupun ketinggalan. Kami bermula dengan baik kerana kami menguasai permainan tetapi kami tetap dibolosi. Kami akan meneruskan aksi dan kami akan terus percaya dengan apa yang kami usahakan dalam sesi latihan, " tambahnya.

“Saya sangat seronok dengan corak permainan uhari ini terutama bagaimana keputusan ini dicipta -– mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol, penguasaan bola yang baik, tekanan tinggi dan sederhana yang baik, kami juga bagus apabila kehilangan bola selain keamatan untuk cuba merampasnya semula.

"Saya melihat banyak perkara positif tetapi kami baru mengharungi perlawanan pertama. Hari ini kami telah melihat hasil kerja keras musim panas lalu."