Pengurus Tottenham, Antonio Conte, menggesa kelab itu agar realistik walaupun bermula tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

Kemenangan 2-1 ke atas Fulham malam tadi menyaksikan Spurs mengekalkan permulaan bersih musim ini, hanya ketinggalan satu mata di belakang Arsenal yang akan menentang Manchester United, malam ini.

Selain pertembungan itu membabitkan seteru setempat, musim lalu Spurs mengatasi The Gunners untuk perebutan tiket Liga Juara-Juara (UCL), lantas keterujaan mereka makin meningkat dalam usaha mereka untuk menamatkan kemarau trofi.

Bagaimanapun, Conte mengambil langkah berhati-hati di sebalik harapan kian meninggi sambil mengulangi kepercayaannya bahawa kelab itu masih kurang mampu bersaing di peringkat tertinggi.



"Adalah penting untuk mempunyai semangat yang tinggi dan teruja untuk pasukan. Pada masa yang sama saya perlu realistik kerana November lalu keadaan benar-benar bermasalah apabila kami tewas 0-3 menentang United di laman sendiri, kemudian kelab membuat keputusan drastik," katanya.

"Dalam tempoh 10 bulan sahaja, ada pihak mula menganggap tahap kami sama dengan pasukan teratas yang lain, saya rasa ia tidak realistik.

"Jika saya ingin berbohong kepada anda, saya boleh mengatakannya."