Pengurus Tottenham, Antonio Conte, percaya Harry Kane bernasib malang kerana masih belum memenangi trofi dalam kariernya.

Kapten England itu telah mencapai banyak rekod peribadi dan mampu menyamai satu lagi rekod ketika bertandang ke Fulham, hari ini, di mana satu gol akan menyaksikan dia akan menyamai koleksi 42 gol legenda Arsenal, Thierry Henry, dalam 'derby' London.

Kane mengalami kekecewaan dalam final Liga Juara-Juara (UCL) 2018-19 dan kecundang dua perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) sementara di peringkat antarabangsa, dia mengetuai pasukan England yang ditewaskan Itali menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley, tahun lalu.

Conte menyatakan kekesalannya terhadap nasib Kane dalam hal itu sambil menegaskan pasukannya sedang berusaha untuk mengubah naratif musim ini.

"Rekod itu menggariskan bahawa anda pernah melakukan sesuatu yang istimewa dan saya fikir dalam soal pencapaian karier peribadi, Harry telah melakukan sesuatu yang istimewa," katanya dalam sidang media.

“Sayang betul dengan banyak gol tapi hingga kini dia tidak memenangi trofi.



“Biasanya apabila anda menyumbat banyak gol untuk pasukan kebangsaan, untuk kelab, anda layak menikmati kejayaan yang menarik.

"Tetapi kami cuba bekerja dan membantunya untuk mencapai sasaran ini. Anda sedia maklum bahawa bagi kami Harry adalah pemain penting dan kita sedang bercakap tentang penyerang bertaraf dunia, tetapi saya juga melihat dalam diri Harry keinginan untuk melakukannya.

"Kemenangan bermakna anda menjulang trofi, anda memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, Piala Liga Inggeris mahupun UCL, dan bersama pasukan kebangsaan; Piala Dunia, Euro.

"Ini adalah trofi yang anda perlu julang dan anda bercakap tentang pemain terbaik dan saya rasa dia layak menerimanya ini."