Pengurus Tottenham, Antonio Conte, meletakkan misi untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang sepakan mula kempen domestik menentang Southampton, Ahad ini.

Spurs menamatkan musim lalu di depan seteru rapat, Arsenal, untuk meraih tempat keempat dan slot UCL.

Sejak itu, mereka begitu aktif dalam jendela perpindahan bagi meningkatkan kualiti skuad dalam pemburuan trofi pertama sejak 2008.

Penjaring gol terbanyak Everton musim lalu, Richarlison, tiba dengan nilai £60 juta (RM324.5j) sementara khidmat Ivan Perisic, Yves Bissouma, Djed Spence dan Clement Lenglet diikat secara pinjaman.

Urusan perpindahan ini meningkatkan harapan di Stadium Tottenham Hotspur tetapi itu bukan satu isu bagi Conte yang turut menetapkan sasaran tinggi.

Apabila ditanya mengenai hala tuju Spurs, Conte memberitahu wartawan: "Kami mahu memenangi UCL dan EPL.

“Saya sendiri dan kelab cuba terus meningkat, untuk membangunkan proses yang telah kami mulakan tujuh bulan lalu.




“Tidak kiralah sama ada kami menjulang trofi, memenangi EPL atau UCL mahupun mendapat tempat dalam UCL, kami telah pun mencapai sasaran.

"Ini bermakna kami perlu berusaha untuk berkembang dalam setiap aspek kerana pengalaman memberitahu saya bahawa kami sedang menuju ke arah yang betul."

Conte juga mendedahkan Oliver Skipp dan Bissouma terlepas perlawanan pembukaan musim ini berikutan kecederaan ringan.