Enam tahun kelibatnya langsung tidak kelihatan di WWE.

Malah, nekad bergusti di seluruh dunia bagi membina reputasinya yang tersendiri dan sempat mengasaskan sebuah organisasi gusti hebat sehingga berjaya menjadi pesaing rapat WWE dalam memecahkan dominasi gergasi sukan hiburan itu dalam industri gusti profesional.

Siapa sangka, Seth “Freakin” Rollins akhirnya berjaya menempah tiket ke Wrestlemania atas ehsan Mr McMahon dan individu yang menjadi pilihan bos WWE itu untuk menjadi lawan kepada Rollins tidak lain dan tidak bukan adalah Cody Rhodes.

Dengan membawa gelaran The American Nightmare, kepulangan Cody disambut penuh gegak gempita oleh WWE Universe di AT&T Stadium, Texas diiringi dengan letusan bunga api bagi meraikan kemunculan semula anak bongsu kepada bintang legenda mendiang Dusty Rhodes tersebut.

Bersedia bagi mendepani sesiapa sahaja, Seth Rollins enggan memberi laluan mudah kepada Cody yang dilihat cuba menyesuaikan diri semula di atas gelanggang WWE. Malah Cody juga dipercayai mengalami kecederaan tulang rusuk sehingga menyebabkan dia kelihatan agak lelah dan terbatas pergerakannya.

Setelah berhempas pulas untuk menundukkan bekas Juara WWE itu, hasil gerakan tumbukan berulang dan bionic elbow bapanya, empat gerakan penyudah Cross Rhodes dilancarkan berturut-turut, menyebabkan Rollins akhirnya terpaksa tunduk menyerah selajur tewas kepada The American Nightmare.

Cody memulakan kariernya di WWE pada tahun 2006 dan sempat memegang beberapa kejuaraan utama dengan dua kali bergelar Juara Antara Benua dan Juara Beregu sebanyak 6 kali. Merasakan yang kariernya perlu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi, Cody meminta pelepasan dari WWE pada tahun 2016 kerana agak kecewa dengan hala tuju kreatif terhadap karakternya di syarikat itu.

Kembalinya Cody ke WWE ibarat kelahiran semula bintang berusia 35 tahun ini. Cody kini bukan lagi Cody versi Dashing yang hanya mementingkan ketampanan wajah atau Stardust yang dijadikan modal jenaka. Akan tetapi, Cody Rhodes versi 2022 ini adalah penampilan semulanya yang lebih matang, keazaman yang tinggi dan pastinya akan menyasarkan Kejuaraan Dunia WWE tidak lama lagi.

Keputusan lain acara Wrestlemania hari pertama:

1. The Usos pertahan Kejuaraan Beregu Smackdown dengan menumpaskan Shinsuke Nakamura dan Rick Boogs

2. Bianca Belair rampas Kejuaraan Wanita Raw daripada Becky Lynch

3. The Miz & Logan Paul kalahkan Rey & Dominik Mysterio

4. Drew McIntyre tumbangkan Happy Corbin

5. Charlotte Flair ketepikan cabaran Ronda Rousey dan mempertahankan Kejuaraan Wanita Smackdown

6. Stone Cold Steve Austin kalahkan Kevin Owens dalam perlawanan tanpa sekatan

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Wrestlemania hari kedua esok dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.