Satu perlawanan yang cukup getir, pertembungan di antara dua pendahulu liga negara masing-masing dan satu perebutan yang masih belum selesai dan seorang pengurus dengan misi tersendiri.

Manchester City 4 Real Madrid 3, itu skor akhir dalam pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.

Pengurus City, Pep Guardiola, kelihatan diselubungi emosi yang pelbagai sepanjang 90 minit -- dia salah seorang pengurus paling berjaya dengan lebih 30 trofi yang telah dijulang.

Trofi UCL dimenanginya dua kali sewaktu mengendalikan Barcelona, skuad yang diakui sebagai antara terkuat di dunia pada waktu itu, namun kejayaan di Eropah tidak lagi kunjung tiba sejak pasukannya menewaskan Manchester United pada musim 2010/11.

Pasti Guardiola lega apabila Kevin De Bruyne hanya memerlukan 94 saat untuk menjaringkan gol pertama dan kelebihan mereka digandakan pula oleh Gabriel Jesus, selang 10 minit kemudian.



Guardiola kemudian hampir meletup dalam kemarahan apabila rembatan Riyad Mahrez hanya terkena sisi jaring selepas menggelecek melepasi tiga pemain pertahanan Madrid dan gagal melebarkan kelebihan mereka.

Persembahan mantap City seharusnya menyaksikan mereka mendahului empat gol pada penghujung separuh masa pertama, namun skor yang terpapar adalah 2-1, hasil serangan balas penyerang Madrid merangkap penyerang paling berbahaya di Eropah pada waktu ini, Karim Benzema.

Skrip yang hampir sama berulang pada separuh masa kedua apabila Phil Foden dan Bernardo Silva masing-masing melebarkan jurang untuk City, hanya untuk Real mengejar kembali hasil usaha Vinicus Jr. dan sekali lagi Benzema dengan sepakan penalti 'Panenka' yang cukup berani.

Biarpun riak wajahnya sepanjang perlawanan memaparkan rasa geram dan kecewa akibat kecuaian pasukannya membenarkan Madrid untuk mengejar, Guardiola kembali tenang dan objektif sewaktu temu bual pasca perlawanan.

Dia menzahirkan rasa bangga dengan aksi City dan berasakan bahawa mereka sudah melakukan segala yang mampu untuk memperoleh kemenangan.

"Kami menunjukkan permainan mantap menentang satu pasukan yang cukup hebat.

"Madrid berjaya mengejar akibat kecuaian kami sendiri, pertahanan kami longgar dan kelihatan gugup sedangkan kebiasaannya kami tenang dalam apa jua keadaan.

"Sekarang, kami akan menuju ke Sepanyol dan cuba untuk menang sekali lagi."

Di sebalik segala kecuaian yang digambarkan, hakikatnya City adalah pasukan yang lebih mantap dan Madrid seharusnya bersyukur kerana masih mempunyai peluang untuk mara, walhal City lebih daripada mampu untuk menguburkan mereka dalam 90 minit tersebut.

Inilah pasukan yang dibina hasil penat lelah Guardiola sepanjang enam tahun lalu -- satu pasukan yang hanya akan terus berkembang maju dan lebih matang pada masa akan datang.



Menurut akhbar The Daily Mail dan pelbagai sumber lain, City dijangka bakal diserikan dengan kehadiran penyerang muda paling 'panas', Erling Haaland pada musim akan datang, mengikut jejak langkah bapanya, Alf-Inge Haaland yang pernah beraksi selama tiga tahun bersama kelab itu.

Imbas kembali ke 10 tahun lalu, Guardiola memutuskan untuk berhijrah meninggalkan Barcelona akibat kepenatan dengan tanggungjawab yang digalas dan senantiasa harus menangani seteru ketat, Real Madrid, yang tidak henti-henti mengejar setiap langkah pasukannya.

Kontraknya bersama City bakal tamat pada penghujung musim depan dan sehingga kini dia masih mengunci mulut tentang langkah seterusnya.

Sukar hendak dibayangkan ke mana hala tuju Guardiola seterusnya jika benar dia memutuskan untuk tidak lagi memimpin City, dan lebih penting lagi, untuk apa harus dia berhijrah sedangkan segalanya sudah cukup sempurna untuknya di bandar Manchester?

Perjuangan Guardiola dan City bakal terus disambung lagi dalam perlumbaan sengit dengan Liverpool yang tidak henti-henti mengejar dan juga aksi pusingan kedua di Santiago Bernabeu minggu depan