Andreas Christensen mengakui sempat berada dalam persimpangan untuk membuat keputusan sukar meninggalkan Chelsea tatkala pemain antarabangsa Denmark itu dijangka menyertai Barcelona secara percuma.

Chelsea pada awal bulan ini mengesahkan pertahanan itu akan meninggalkan Stamford Bridge pada akhir kontraknya selepas menyumbang 14 gol dalam 34 penampilan buat anak buah Thomas Tuchel berkenaan pada musim 2021-22.

Tuchel sebelum ini mendedahkan pertahanan itu menarik diri daripada beraksi dalam kekalahan final Piala FA kepada Liverpool bulan lalu atas sebab peribadi ketika Barca dikaitkan dengan perpindahan pemain berusia 26 tahun berkenaan.

Christensen menyertai kelab London itu sebagai pemain remaja sebaik meninggalkan Brondby pada 2012 untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL), Liga Europa, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Dia tidak berselindung bahawa pernah berdepan dilema dalam membuat keputusan untuk menentukan hala tujunya dengan menulis di Instagram: "Saya berdepan keputusan sukar pada usia 16 tahun
apabila perlu meninggalkan Denmark. Hanya ada satu pilihan untuk saya dan ia adalah Chelsea. Sejak saya tiba mereka membuatkan saya berasa seperti di kampung halaman sendiri.

"Beberapa detik paling membanggakan saya di kelab ini adalah ketika kami memenangi Piala Belia FA dan Liga Belia UEFA. Ia adalah satu kumpulan pemain muda istimewa yang saya bangga ada sebagai rakan sepasukan.




“Tahun lalu merupakan pencapaian paling membanggakan saya sebagai pemain dan pasukan apabila menjulang UCL di Porto.

“Saya adalah pemain muda di Chelsea yang berdepan segala harapan dan ketakutan yang perlu ditempuhi seorang pemain pada permulaan karier, saya berterima kasih kepada seluruh kelab kerana membuat impian saya menjadi kenyataan.

"Selepas menghabiskan 10 tahun yang menakjubkan di kelab ini, saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk permulaan baru buat saya dan keluarga saya. Daripada segi mental, beberapa bulan kebelakangan ini memang sukar kerana ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk meninggalkan kelab ini dan peminat.

"Saya bukan orang yang paling banyak bercakap jadi kadang-kadang orang tidak faham betapa besar erti kelab dan peminat buat saya. Saya akan merindui pemain, kakitangan dan semua orang di sini. Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan peminat dalam masa depan."

Christensen membuat 93 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Chelsea dan dua musim dipinjamkan ke kelab Bundesliga, Borussia Monchengladbach, di antara 2015 dan 2017.