Bek kiri Chelsea, Ben Chilwell, akan menjalani pembedahan lutut, sekali gus terlepas keseluruhan baki musim ini.

Pemain kebangsaan England itu mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dalam babak kedua sewaktu The Blues menewaskan Juventus 4-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 23 November lalu.

Chelsea sebelum ini berharap pertahanan itu dapat menjalani proses pemulihan dan kembali beraksi pada 2022 tetapi kelab itu telah membuat keputusan bahawa pembedahan merupakan penyelesaian terbaik dalam merawat pemain berkenaan.

Bekas pemain Leicester City itu sedang berada di prestasi terbaik sebelum mengalami kecederaan berkenaan di Stamford Bridge, di mana dia menjaringkan tiga gol dan mendaftarkan satu bantuan jaringan dalam enam penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Sepanjang ketiadaan Chilwell, Marcos Alonso dipilih untuk mengisi kekosongan itu tetapi dengan ketiadaan pemain senior di posisi berkenaan, Thomas Tuchel kelihatan perlu melakukan sesuatu dalam jendela perpindahan bulan depan.

The Blues mempunyai dua bek kiri yang sedang dipinjamkan ke kelab lain, iaitu Emerson Palmieri di Lyon dan Ian Maatsen di Coventry City tetapi masih tidak dapat dipastikan sama ada mereka boleh memanggil semula kedua-dua pemain itu atau tidak.