Thomas Tuchel menjangkakan pengalaman "istimewa" buat Chelsea menjelang perlawanan dengan Real Madrid sambil menilai Karim Benzema sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia.

The Blues bakal menerima kunjungan pendahulu LaLiga itu dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok, dan barisan kendaliannya pernah menewaskan Los Blancos 3-1 dalam separuh akhir musim lalu untuk muncul juara Eropah buat kali kedua.

Sejarah pastinya menyebelahi Chelsea selepas lima kali Madrid berdepan ranjau pulang tanpa kemenangan di barat London.

Madrid diangkat raja Eropah apabila memegang rekod 13 kejuaraan dan di bawah Zinedine Zidane, mereka mengungguli tiga edisi berturut-turut antara 2015-16 dan 2017-18.

Walaupun Tuchel menikmati peristiwa detik manis musim lalu tetapi dia yakin ia tidak akan dijadikan sentimen bagi pertemuan esok.





“Sukar untuk mengekalkan catatan itu,” katanya mengenai kegagalan Madrid ke final UCL baru-baru ini selepas kali terakhir gol Gareth Bale memberi inspirasi kemenangan mereka ke atas Liverpool.

“Mereka memenanginya tiga kali berturut-turut, mereka melakukannya dengan skuad yang hampir sama dalam tempoh yang panjang jadi ia sememangnya mengagumkan, luar biasa.

"Saya fikir adalah perkara biasa bahawa lambat-laun kitaran perubahan seperti ini perlu dilakukan, daripada segi kejayaan berturut-turut dan mara ke final, inilah yang pernah mereka lakar. Kami harus sangat sedar bahawa pasukan yang mempunyai bakat, pengalaman dan kualiti seperti ini mampu menghasilkan detik-detik dan malam bersejarah.

“Bagi kami, ia juga satu peristiwa yang cukup istimewa -– untuk menentang Real Madrid dalam suku akhir -– dan itulah sebabnya kami berasa sangat teruja dan kami tidak tidur nyenyak memikirkan kedudukan mereka di Eropah.

"Kami mempunyai satu matlamat untuk dibuktikan, iaitu membuktikan kemampuan sendiri, itulah sasarannya. Sempena pertemuan istimewa dan lawan istimewa ini, kami jadi sangat teruja."

Disoal sama ada perlawanan musim lalu mempunyai kaitan pertembungan kali ini, jawab Tuchel: "Saya rasa ia tiada kaitan dengan perlawanan musim lalu. Sejujurnya. Saya tidak melihatnya ketika membuat persiapan."