Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, seolah-olah melancarkan perang psikologi sewaktu temu bual pra-perlawanan peringkat kedua suku akhir pasukannya menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

"Selepas tewas 3-1 dalam peringkat pertama, peluang kami untuk menang malam ini tidak cerah," ujar Tuchel, yang kemudian dituruti kekalahan 4-5 secara agregat di sebalik memenangi pertemuan timbal balik itu 3-2.

Siapa menjangka kata-kata tersebut lebih menjurus kepada satu cabaran buat pemain-pemainnya, dan ternyata satu kejutan besar hampir sahaja dilakukan oleh pasukan juara bertahan itu.

Sebelum perlawanan dimulakan, penyokong Madrid merentangkan satu sepanduk gergasi yang memaparkan gambar seorang raja memegang daun terup.

Di sisi sepanduk gergasi itu, disertakan sepotong ayat, 'No juegues con el rey', yang bermaksud 'Jangan main-main dengan sang raja'.



Berdasarkan apa yang disaksikan dalam perlawanan itu, Chelsea bukan sahaja 'bermain' dengan sang raja, malah mereka memberikan amaran bahawa raja bakal tersingkir di halaman sendiri.

Hasil usaha Mason Mount, Antonio Rudiger dan Timo Werner, Chelsea meledakkan tiga gol dalam tempoh 75 minit untuk mendahului Madrid 4-3 secara agregat, dan seharusnya mereka dapat menambah satu gol lagi jika bukan kerana jaringan bek kiri, Marcos Alonso, dibatalkan oleh VAR atas dasar bola terkena tangannya.

Singkap kembali sebentar ke perlawanan pusingan lalu, sewaktu Madrid menentang PSG -- kita menyaksikan bagaimana PSG tumbang dan ranap akibat tekanan sewaktu pasukan lawan berjaya mengejar selepas ketinggalan dua gol pada awalnya.

Berbeza dengan kelab Perancis itu, kegarangan Chelsea disambut dengan kebangkitan menyeluruh oleh Madrid.

Hanya lima minit selepas Chelsea menjaringkan gol pendahuluan, pemain veteran Madrid yang tidak lapuk dek usia, Luka Modric, menguis satu hantaran yang teramat cantik untuk membuka ruang buat pemain gantian, Rodrygo, melakukan rembatan deras menewaskan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.

Begitu cantiknya hantaran tersebut sehinggakan bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand, berkata "Hantaran itu membuatkan saya hilang kata-kata!" dalam ulasannya bersama studio BT Sport.

Pemain pertahanan tengah Chelsea, Rudiger, mempamerkan persembahan yang wajar dipuji.

Selain menjaringkan salah satu gol, dia turut berusaha keras sepanjang perlawanan demi mengekang penyerang paling berbahaya di rantau Eropah ketika ini, Karim Benzema.



Malang sekali, pada minit-minit akhir perlawanan, dia tumbang buat dua kali.

Kali pertama, sewaktu hantaran silang Vinicius Jr. dilorongkan tepat ke arah Benzema, menyebabkan Rudiger tersilap langkah dan gagal menghalang Benzema daripada melakukan tandukan bebas -- gol kemenangan buat Madrid.

Kali kedua, sebaik wisel penamat ditiupkan, Rudiger mendongak ke langit, melaungkan kekesalan dan akhirnya tumbang ke tanah dalam kekecewaan.

Ia sudah terlalu hampir, namun tidak mencukupi pada akhirnya buat Chelsea.

Pada saat ini, mereka hampir pasti mengakhiri musim di tangga ketiga dalam Liga Perdana Inggeris, satu tangga lebih tinggi berbanding musim lalu manakala Piala FA masih lagi diperjuangkan.

Sedihnya, takhta sebagai penyandang juara Eropah harus dilupakan, seangkatan dengan suntikan dana daripada oligarki Rusia, Roman Abramovich, yang kini hanya tinggal satu kenangan manis.