Ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel, mengesahkan bahawa N'Golo Kante dan Thiago Silva diuji positif virus COVID-19.

Kedua-dua pemain itu terpaksa diketepikan ketika Chelsea menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) di Stamford Bridge awal pagi tadi dan perlu menjalani tempoh pengasingan.

Kante telah beraksi sebanyak 17 daripada keseluruhan 32 perlawanan The Blues musim ini manakala Silva -- Yang memperbaharui kontrak selama setahun pada Isnin lalu -- telah diturunkan sebanyak 22 kali.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tiga bulan pemain kebangsaan Perancis, Kante, didapati positif koronavirus.

Selain berdepan Tottenham dalam dua perlawanan separuh akhir, Chelsea juga akan bertemu Chesterfield dalam saingan Piala FA selain aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Manchester City sepanjang 10 hari ini.

Tuchel berkata kepada Sky Sports sebelum perlawanan menentang Tottenham: "Malangnya, Thiago dan N'Golo diuji positif (COVID-19).

"Ia sesuatu yang besar buat kami memandangkan mereka berdua mempunyai peranan yang besar.

"Kami baru tahu maklumat itu pagi ini, jadi ia agak mencabar tetapi kami akan mengatasinya," katanya.

Sebagai rekod, Chelsea layak ke final Piala EFL sebanyak lima kali daripada tujuh penentuan separuh akhir terakhir -- hanya disekat Swansea (dalam musim 2012-13) dan Arsenal (201-18) sepanjang tempoh itu.