Chelsea melengkapkan proses menandatangani Kalidou Koulibaly daripada Napoli dengan perbelanjaan yang dilaporkan bernilai €40 juta (RM179.59 juta).

Pertahanan tengah kebangsaan Senegal itu sebelum ini hanya memiliki baki kontrak setahun bersama Napoli dan dia kini sah mengikat kesepakatan selama empat tahun di Stamford Bridge.

Koulibaly sudah mula dikaitkan untuk meninggalkan Naples sejak beberapa tahun lalu, di mana dia sentiasa mencuri tumpuan di atas padang sejak tiba di Serie A daripada kelab Belgium, Genk, pada 2014.

Dua pertahanan, Antonio Rudiger dan Andreas Christensen, masing-masing telah meninggalkan Chelsea untuk menyertai Real Madrid dan Barcelona pada penghujung musim lalu.

The Blues kini telah menemui pengganti terbaik dengan mendatangkan Koulibaly walaupun mereka sebelum turut dikaitkan untuk mendapatkan khidmat Nathan Ake, Jules Kounde dan Matthijs de Ligt.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan, Koulibaly menganggap perpindahannya ke Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan impian jadi kenyataan.

"Saya amat gembira untuk berada di sini bersama pasukan ini di Chelsea.

"Ia merupakan pasukan yang besar di dunia dan saya sentiasa mengimpikan untuk bermain dalam EPL.

"Chelsea cuba mendapatkan saya pada 2016 tetapi ia tidak berjaya.

"Kini, apabila mereka datang memberikan tawaran buat saya, saya menerimanya kerana saya benar-benar mahu ke EPL dan beraksi bersama mereka.

"Apabila saya bercakap dengan rakan baik saya, Edou (Mendy) dan Jorginho, mereka membuatkan keputusan ini lebih mudah untuk dipilih, jadi saya amat gembira untuk dapat bersama anda hari ini," katanya,