CHELSEA 4 MALMO 0

Thomas Tuchel mencabar pemain yang kurang mendapat tempat dalam Chelsea agar segera merebut peluang untuk membuktikan keupayaan mereka berikutan kecederaan yang menimpa Romelu Lukaku dan Timo Werner.


Lukaku mengalami kecederaan pergelangan kaki sementara Werner di bahagian hamstring dalam separuh masa pertama ketika melakar kemenangan 4-0 ke atas Malmo dalam Kumpulan H, Liga Juara-Juara (UCL) di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Penyerang Belgium, Lukaku, menerima padah akibat terjahan Lasse Nielsen yang memberikan mereka sepakan penalti untuk disempurnakan Jorginho selepas mendahului menerusi gol pembukaan Andreas Christensen.





Kai Havertz yang masuk menggantikan Lukaku menyumbang gol ketiga Chelsea sebelum memainkan peranan untuk satu lagi sepakan penalti buat The Blues.

Chelsea akan menempuhi lima perlawanan dalam masa 17 hari, tetapi Tuchel menegaskan tiada alasan untuk mereka keciciran mata sekalipun tanpa kelibat Lukaku dan Werner untuk jangka masa yang panjang.

"Saya rasa Romelu dan Timo akan tersisih selama beberapa hari," katanya kepada BT Sport.

"Biasanya kami bernasib baik tentang isu kecederaan memandangkan hanya Christian Pulisic yang terpaksa diketepikan ketika ini. Kami merindui mereka. Kami akan berdepan banyak perlawanan. Kami perlu mencari jalan keluar. Sebarang alasan tidak boleh diterima.

"Sebelum ini kedua-dua penyerang kami ini dalam keadaan baik, berbahaya dan mampu menghasilkan gol. Sekarang kami perlu mencari jalan penyelesaiannya jadi pemain simpanan perlu merebut peluang yang terhidang ini dan membuktikan bahawa mereka juga mampu melakukan hal yang sama.

"Sesiapa pun, perebutan untuk posisi akan menjadi terbuka. Pemain yang akan diturunkan ketika menentang Norwich dalam perlawanan seterusnya akan mendapat kepercayaan kami. Kami akan berusaha mencari penyelesaian baru.

"Ayuh tetap positif. Kami memenangi perlawanan terdahulu tanpa Timo dan juga Romelu. Kami tidak mahu masalah ini berlaku terlalu kerap tetapi ia masih boleh terjadi pada musim ini."