Terkenang akan kata-kata bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho, pada tempoh pra-musim tahun 2015.

Ketika itu, Chelsea tewas 4-2 kepada New York Red Bulls dalam perlawanan persahabatan pra-musim, lalu Mourinho lantas berkata: "Apa yang berlaku sewaktu pra-musim tidak boleh dipercayai".

Malangnya, kekalahan itu disusuli oleh satu musim yang menyaksikan Chelsea tewas sembilan kali dalam 16 perlawanan pertama, dan Mourinho akhirnya dipecat sekali lagi.

Apakah tempoh pra-musim yang teruk buat Chelsea ketika ini bakal menjadi petanda perkara sama bakal berlaku?

Beberapa hari lalu, mereka gagal membereskan pasukan Charlotte FC dalam tempoh 90 minit sebelum akhirnya tewas menerusi sepakan penalti.

Semalam, mereka dibelasah pula oleh Arsenal dengan skor 4-0.


Petanda atau tidak, apa yang pasti adalah di sebalik segala pembelian yang telah disempurnakan dan juga pembelian yang disebut-sebut bakal tiba, Chelsea tidak berada dalam keadaan optimum untuk menyambut ketibaan permulaan musim 2022-23.

"Saya cukup tidak tenang ketika ini, kami langsung tidak berdaya saing.

"Disebabkan apa yang berlaku pada musim lalu, kami memerlukan kemasukan pemain baru yang berkualiti.

"Ketika ini kami telah memperoleh dua pemain yang cukup bagus tetapi permainan kami cukup teruk," ujar pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

Menarik sekali, menurut laporan ahbar Daily Mail, terdapat krisis ketidakharmonian yang mula meresap masuk ke dalam skuad Chelsea ketika ini, dan ia seolah-olah disahkan oleh kata-kata lanjut daripada Tuchel.

"Kami tandus daripada aspek komitmen mental, ada ramai pemain yang terfikir hendak meninggalkan pasukan dan mempertimbangkan pilihan lain yang ada.

"Kami memang tahu ada beberapa pemain yang hendak mengangkat kaki dan inilah keadaannya ketika ini."

Antara pemain yang diura-urakan bakal berubah haluan adalah penyerang Jerman, Timo Werner.

Werner dipetik sebagai berkata, "Saya boleh bahagia di mana-mana kelab sekalipun," sebelum tempoh pra-musim bermula, seolah-olah memberikan petanda bahawa dia sedang berusaha mencari jalan keluar.

Sementara itu, pemain yang baru dibeli dari Napoli, Kalidou Koulibaly, merupakan seorang pemain yang cukup mantap, namun dia berhadapan dengan tekanan tinggi untuk serta-merta menyesuaikan diri bersama pasukan baru dan mengemudi jentera pertahanan Chelsea sebaik-baiknya.

Dalam tempoh berminggu-minggu yang lepas, Chelsea dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan Jules Kounde dari Sevilla, Presnel Kimpembe dari PSG dan Nathan Ake dari Manchester City untuk digandingkan dengan Koulibaly, namun kesemua ini masih tidak dapat disahkan lagi.

Berdasarkan apa yang dilihat dalam perlawanan semalam, pemain-pemain muda Chelsea yang sedia ada, Trevoh Chalobah dan Malang Sarr, nampaknya gagal untuk mengagumkan Tuchel.

Kita boleh menjangkakan Chelsea bakal lebih sibuk lagi dalam tempoh dua minggu akan datang dalam memperbaiki kelemahan yang telah didedahkan dan membawa masuk pemain-pemain yang diinginkan.

Menarik juga untuk diperhatikan, Chelsea bakal berhadapan dengan dua bekas pengurus mereka, Frank Lampard dan Antonio Conte, dalam dua perlawanan pertama musim baru.

Wang bukan lagi satu masalah buat Chelsea tetapi tempoh yang semakin suntuk serta keperluan untuk pemain menyesuaikan diri dengan cepat mungkin menjadi satu faktor yang mendorong kepada kecelaruan The Blues kelak.