Pemain beregu campuran veteran negara, Chan Peng Soon, menegaskan bahawa dia belum bersedia untuk menggantung raket daripada pentas badminton antarabangsa tahun depan.

Katanya, dia hanya akan mempertimbangkan perkara itu selepas Sukan Olimpik di Paris pada 2024.

Temasya berkenaan akan menjadi misi utama buat pemain berusia 34 tahun itu dan kemudian, dia mungkin akan menyusuli bekas gandingannya, Goh Liu Ying, untuk mengumumkan persaraan.

Sebagai rekod, Peng Soon dan Liu Ying merupakan antara legenda negara dalam sektor beregu campuran selepas memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Peng Soon, yang kini bergandingan dengan Cheah Yee See, berkata kepada Nadi Arena: "Saya rasa (akan bersara) selepas dua tahun ini kerana saya sudah berjanji dengan pasangan baru saya bahawa kami akan meneruskannya untuk dua tahun lagi.

"Kami akan berjuang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024.

"Saya rasa, selepas dua tahun ini, saya akan bersara, sudah sampai masanya," katanya.