Penyerang utama Uruguay, Edinson Cavani, hanya sempat beraksi selama 13 minit selepas menerima kecederaan dalam perlawanan persahabatan menentang Republik Ireland di Dublin, semalam.

Cavani, yang menjaringkan 49 gol dalam 50 penampilan bersama Paris Saint-Germain (PSG) musim ini terpaksa digantikan oleh pemain Middlesbrough, Christian Stuani, selepas berlaga dengan Kevin Long dalam aksi di Stadium Aviva.

Cavani adalah satu-satunya bintang utama yang beraksi selepas penyerang Barcelona, Luis Suarez, dan pertahanan Atletico Madrid, Diego Godin, tidak disenaraikan.

Skuad kendalian Oscar Tabarez dikejutkan dengan gol lawan pada minit ke-28 menerusi Jonathan Walters sebelum Jose Gimenez menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Bagaimanapun, Republik Ireland berjaya menyumbat dua gol dalam separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan 3-1 di hadapan penyokong sendiri.

Uruguay akan melalui satu lagi aksi persahabatan menentang Itali pada 7 Jun di Stadium Allianz Riviera, Perancis.